Monday, 25 April 2016

Asal

Kalau korang ingat la kan, dalam akhir tahun lepas kalau tak silap ada viral kat whatsapp pasal voicenote yang “aku asal dari..” tu.

Kali ni biar aku pula cerita kat korang aku asal mana.

Aku ni lahir kat bandar KL, tapi aku tak pernah duduk pun kat area situ. Aku dengan keluarga dah lama menetap kat Hulu Selangor. Bandar yang terdekat dengan tempat aku adalah Rawang (cuba la search kalau nak tahu kat mana). So, kalau ada orang tanya aku asal mana, otomatikli aku akan sebut orang Selangor.

Best ke duduk Selangor ni? Boleh tahan jugak la. Sebab dekat dengan kawasan bandar besar, jadi kalau nak berjalan tu memang seronok la.

Lagi satu aku rasa orang Selangor ni tak melampau sangat “semangat kenegerian” dia. Malah, kami boleh adapt dengan orang mana-mana negeri pun.

Aku dah pernah merasa duduk kat belah utara dengan belah pantai timur. Orangnya baik, tapi kadang-kadang tu annoying pun ada. Berapa kali aku kena ‘paksa’ cakap dalam loghat diorang. Kalau ada kelas khas belajar loghat boleh tahan lagi. Ini mana ada beb.

Pada aku, tak kisah pun nak tunjuk kau tu orang jati negeri tu. Yang penting, jangan paksa orang nak terima kau punya ke”jati”an kau tu.


Respect each other. Accept the differences and try to coexist together.

Ujian

Berakhirnya cuti maka bermula sesi exam bagi pertengahan semester.

Untuk semester ni, nasib baik cuma tiga paper je yang perlu dijawab. Tapi tak bermana ini menjadi laluan yang senang untuk aku.

Semenjak masuk bidang ekonomi ni, aku masih tak dapat nak mencari rentak nak study. Dah biasa hadap subjek-subjek sains tulen, dapat subjek mikroekonomi dengan makroekonomi memang susah le nak menjawabnya.

Dulu masa sekolah, tak payah study pun boleh jawab exam dengan tenang. Sekarang ni, dah buat belajar bagai nak rak pun bila buka je kertas exam terus blank kepala otak.

Dan buat pertama kalinya dalam hidup aku, aku rasa terdesak sangat dalam menjawab exam sampai rasa nak meniru. Padahal, prinsip aku biar teruk mana pun exam tu, aku takkan meniru.

Alhamdulillah, setakat ni prinsip tu masih aku tak langgar pun.

Betul la kata salah seorang sahabat baik aku, kita akan diuji oleh Allah pada titik terlemah kita. Mungkin subjek sains bagi aku sangat mudah, kali ni diuji dengan benda yang aku tak boleh buat.


Harapnya aku akan terus tabah menghadapi ujian ni, In Shaa Allah.

Monday, 18 April 2016

Cuti

Korang biasanya cuti buat apa?

Dulu time kecik-kecik dulu biasanya aku rajin balik kampung. Kalau kampung sebelah ayah kat Melaka, sebelah mak pulak kat Terengganu. Sebab masa raya dah balik Melaka, bila cuti sekolah lepak kat Terengganu pulak la.

Best jugak habiskan masa kat kampung ni. Suasana dia lain banding dengan kat bandar. Kat kampung aku boleh jumpa sepupu-sepapat yang jarang-jarang sekali je dapat jumpa.

Yang paling syok, dapat belajar main galah panjang. Kat rumah biasanya aku main basikal dengan jiran, kalau tak pun main badminton. Mana nak merasa main permainan tradisional ni.

Kalau diingatkan kembali masa tu, memang penuh dengan kisah-kisah gembira.

Tapi semenjak dah masuk Universiti ni dah jarang nak balik kampung. Biasa kalau cuti balik rumah, habiskan masa dengan mak, ayah dengan adik je.

  

Buku

Ketagihan..

Ada orang ketagih dadah dan ada orang ketagih minuman/makanan. Pendek kata, setiap orang dalam dunia ni akan ada satu benda yang mereka ketagih nak buat atau nak merasa.

Untuk aku, bau aroma kulit buku yang berada di kedai-kedai mahupun toko-toko buku sudah cukup untuk aku menjadi penasaran.

Ok, itu memang dah menambah-nambah.

Aku memang minat sangat baca buku, terutama sekali novel fiksyen. Bila aku start baca buku memang susah nak berhenti. Macam dah masuk ke dunia lain. Melalui buku, aku boleh membayangkan satu-satu babak tersebut dengan lebih mendalam dan teliti berbanding daripada filem.

Melalui gaya penulisan di dalam buku juga, aku lebih mengenali dengan dekat siapa penulisnya. Kita boleh lihat bagaimana emosi penulis tersebut, imaginasinya serta pandangan atau pendirian yang ingin disampaikan atau dibawa penulis tersebut.


Tapi satu peringatan buat mereka yang memilih untuk ketagih terhadap buku. Pastikan rumah anda memiliki ruang untuk menyimpan kesemua buku-buku yang anda beli. 

Awal-awal memang tak terasa sangat, tapi bila koleksi buku dah mula menimbun baru la tahu macam mana rasanya. 

Monday, 11 April 2016

Game

Korang minat tak main video game? Sepanjang hidup korang sekurang-kurangnya sekali mesti korang pernah main video game kat handphone, PC, ataupun konsol seperti playstation atau X Box. Aku mula main video game masa umur 6 tahun, itu pun kat Nokia 3310. Gamenya adalah Snake/Snake Xenzia, Bantumi, dan aku punya favourite; Space Impact. Memang legend la siapa yang pernah main game tu.

                Seiring dengan perkembangan teknologi, game-game yang dihasilkan canggih dan lebih menarik perhatian berbanding generasi game sebelumnya. Daripada gambar berbentuk 2D kepada gambar 3D, latar bunyi yang menarik serta jalan cerita game itu sendiri setanding dengan filem-filem yang berjaya.

                Game bukan sahaja membawa keseronokan malah ia juga mengajar sesuatu kepada setiap pemain game tersebut. Sebagai contoh, kebanyakan game dihasilkan dalam Bahasa Inggeris. Sedikit sebanyak pemain game harus mengetahui Bahasa Inggeris agar mereka dapat main game tersebut. Sebahagian judul game seperti Assassin’s Creed dan Civilization memasukkan fakta-fakta sejarah di dalam game tersebut. Oleh itu, pemain game akan belajar fakta-fakta sejarah dalam keadaan yang interaktif dan tidak membosankan.

                Meskipun begitu terdapat beberapa kekurangan tmengenai video game ini. Antaranya, keganasan yang digambarkan serta paparan-paparan yang tidak sesuai ditayangkan kepada pihak bawah umur. Video game juga dikatakan membuatkan seseorang itu kurang mampu bersosial dengan masyarakat, serta menyebabkan seseorang itu tidak aktif dalam aktiviti luar.


                Pendapat aku, sekiranya ada kebaikan dalam sesuatu itu, maka gunakan ia. Jangan pula kita nak mengambil keburukan sesuatu itu. Bak kata P. Ramlee; buang yang keruh, ambil yang jernih, baru teguh peribadi.

Air

Semester lepas aku ada join satu kem yang dianjurkan oleh Kelab Ekorelawan. Ekorelawan ni secara mudahnya persatuan sukarelawan yang mementingkan hal alam sekitar. Dalam kem tersebut, kami diajar 3 jenis modul; modul Hutan, modul Tanah, dan modul Air. Setiap modul tersebut akan menerangkan fungsi setiap subjek modul tersebut (hutan, tanah dan air) terhadap ekosistem serta kepentingan menjaganya.

Antara ketiga-tiga modul ni yang menarik bagi aku adalah modul air memandangkan dalam kehidupan seharian kita, air adalah satu perkara yang tidak dapat dipisahkan. Sedikit fakta mengenai air; 71% permukaan bumi dliputi air, namun hanya sebahagian kecil daripada itu merupakan air yang selamat untuk diminum. 80% daripada tubuh badan manusia juga terdiri daripada air.

Sejarah membuktikan bahawa peradaban manusia biasanya bermula di kawasan lembangan air seperti sungai, laut, tasik dan punca air yang lain. Hal ini menggambarkan betapa sinonimnya kehidupan kita dengan air. Ketiadaan air membuatkan kehidupan kita menjadi lebih sukar. Benda terbukti apabila terputus bekalan air baik di rumah mahupun kolej penginapan di universiti. Bayangkan terpaksa simpan air di dalam baldi atau botol-botol air lepas tu kena berjimat cermat nak guna air.


Moral of the story, ketahuilah bahawa nilai setitik air tersebut amat berharga.   

Monday, 4 April 2016

Buah

Korang semua kenal tak buah naga? Bukan bola naga Dragonball Z tu. Tapi buah merah yang isinya kadang-kadang putih atau merah tu.

Buah naga ni rupanya berasal dari tumbuhan jenis kaktus. Nama saintifiknya adalah Hylocereus undatus (isi putih) manakala Hylocereus polyrhizus (isi merah).


Buah ni berasal dari Amerika Selatan. Di sana buah ni terkenal dengan nama Pitaya/Pitahaya. Kalau di belah Asia ni kebanyakan buah naga mempunyai rasa yang agak manis manakala di sebelah Amerika Selatan buahnya mempunyai rasa sedikit masam yang menyegarkan. Tekstur buah ni hampir dengan buah kiwi disebabkan biji-biji kecil yang boleh dimakan.

Antara kelebihan buah ni, ia mempunyai zat-zat makanan seperti serat, kalsium dan fosforus yang sesuai untuk merawat penyakit darah tinggi. Kandungan karotenoid yang tinggi dalam buah naga berisi merah sangat baik untuk memperbaiki penglihatan mata.

Yang paling penting, buah naga yang disejukkan di dalam peti ais amat sesuai dijadikan kudapan terutamanya di musim panas macam sekarang.

Hantu

Puisi ini hanya ingin berpesan

Di luar ada orang mengeluh sambil meraung
seperti habis disiksa
raungannya tak jelas
berceloteh di kegelapan
mulutnya pecah
sekujur tubuhnya lebam
apakah kau tak mendengar?

cobalah lirihkan suaramu
barangkali kau akan mengerti
apa mau dia

puisi ini hanya mengabarkan
di luar bangkai busuk berserakan
apakah kau tidak mencium baunya?

tok! tok! tok!
inilah temanmu datang
bukakan pintumu
                                                                                                                             -Wiji Thukul Wijaya-

Apa pendapat korang kalau malam-malam korang ambik satu buku yang cover depannya cukup melemahkan semangat. Korang bukak mukasurat pertama je terus keluar puisi kat atas tu.

Pergh.

Memang azab, rasa macam nak terkencing kat situ jugak. Itu lah, perasan diri macam berani sangat padahal penakut.

By the way, puisi kat atas tu ada dalam buku Jangan Biar Dia Masuk karya A. Darwisy. Kalau korang minat baca pasal benda-benda mistik, amat disarankan buku ni.

Balik semula pada tajuk minggu ni, hantu. Aku ni seorang yang percaya benda-benda ghaib ni. Dalam Islam pun ada sebut yang meyakini perkara ghaib itu wujud adalah wajib.

Aku takut ke hantu? Of course. Jangan cakap aku, ayah aku sendiri pun pernah mengaku yang dia pun takut jugak benda-benda macam ni. Tapi dia pesan, sampai bila kita nak takut kat diorang. Tak cukup lagi ke kita kena takut dekat Allah.

Kadang-kadang jelmaan yang kita lihat tu cuma mainan perasaan je. Tapi kalau dah rezeki korang nak nampak benda-benda ghaib ni nak buat macam mana.

Nasihat aku, jangan cari, jangan panggil, dan jangan terlintas pun nak jumpa dengan benda-benda ni. Sebab dekat sekeliling kita ada “dia”.